Minggu, 15 Desember 2013

Sufi Road : Syarat Baiat



SYARAT-SYARAT BAI‘AH
Diantara syarat-syarat yang penting yang dikemukakan oleh Hadhrat Shah Ad-Dehlawi Rahmatullah‘alaih di dalam kitabnya Al-Qaulul Jamil, bagi seseorang yang hendak melakukan Bai‘ah hendaklah dia membetulkan pegangan dan I’tiqadnya supaya sesuai dengan I’tiqad orang-orang Salih yang terdahulu seperti meyakini akan kewujudan dan keesaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan tidak ada Tuhan melainkan Dia yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan seperti Maha Hidup, Maha Mengetahui,Maha Berkuasa, Maha Berkehendak dan Maha segalanya sebagaimana yang Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah menggambarkan Sifat-SifatNya menerusi sumber-sumber yang Naqli dari Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan diteruskan oleh Para Sahabat Ridhwanullah ‘Alaihim Ajma’in.

Allah itu Maha Suci dari segala sifat kekurangan yang bisa hilang dan binasa seperti berjisim, mengambil ruang, bersifat baru, yang berubah-ubah, bertempat, berwarna
dan berbentuk. Maha Suci Allah dalam setiap hal dankeadaan. Apa yang terdapat di dalam Al-Quran tentang Tuhan bersemayam di atas ‘Arash, Tangan Allah dan sebagainya itu semuanya hendaklah kita beriman dan percaya sebagaimana yang telah dinyatakan oleh ayat-ayat itu pada prinsip zahirnya dan kita hendaklah menyerahkan uraian tentang ayat-ayat itu kepada Allah Subhanahu WaTa’ala.

Secara mutlaknya kita mestilah mengetahui bahwa Allah Subhanahu Wa Ta’ala itu tidak bersifat seperti sifatsifat makhluk dan tidak ada sesuatu pun yang serupa
dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Allah itu MahaMendengar lagi Maha Melihat. Kita juga mesti mengakui bahawa sifat-sifat kesempurnaan itu tetap tsabit wujudnya di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala seperti yang telah ditegaskan olehNya di dalam Al-Quran. Ini merupakan syarat yang utama.

Syarat yang kedua, secara umumnya seseorang itu mestilah mengakui tentang wujudnya Kenabian Para Anbiya ‘Alaihimus Solatu Wassalam dan mengakui pula Kenabian Penghulu kita Hadhrat Sayyidina Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam secara khusus. Dia mestilah mematuhi dan mengikuti apa saja yang diperintah dan dilarang oleh Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Mestilah sentiasa mempercayai Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam setiap perkara yang disampaikannya sama ada tentang Sifat-Sifat Allah Subhanahu Wa Ta’ala, tentang perkara Akhirat, tentang Syurga dan Neraka, tentang Mahsyar, tentang Hari Hisab, tentang melihat Wajah Allah, tentang Qiyamat, tentang azab kubur dan lain-lain seperti yang telah disebut oleh hadits-hadits Nabawiyah yang sahih.

Syarat yang ketiga hendaklah dia sentiasa berhati-hati dan berusaha menjauhkan dirinya dari melakukan perkaraperkara yang dianggap dosa besar dan sentiasa menyesal apabila melakukan dosa-dosa kecil.

Syarat yang keempat hendaklah dia berhati-hati dalam mengamalkan rukun-rukun Islam. Dia hendaklah melakukan segala amalan ibadat ini dengan betul seperti
yang diperintahkan oleh Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan memeliharasegala Sunnahnya serta menjaga segala peraturan dan adabyang berhubung dengan amalan ibadat.

Syarat kelima hendaklah dia memerhati dan memperbetulkan perkara-perkara yang berhubung dengan kehidupan seharian seperti makan, minum, pakaian, percakapan, rakan, saudara mara dan keluarga. Memperbetulkan urusan rumahtangga dan kekeluargaan, urusan mu’asyarat dan mu’amalat seperti jual beli, hutangpiutang dan sebagainya menuruti Sunnah Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Syarat keenam hendaklah sentiasa mengamalkan zikir-zikir Masnun pada waktu pagi dan petang, menjaga akhlak, membaca Al-Quran, mengingati Akhirat, menghadiri majlis ilmu dan zikir dan banyak beribadat.

Syarat yangketujuh ialah menyempurnakan kesemua syarat-syarat tadi dan menumpukan perhatiannya kepada usaha batin iaitu menuju Kehadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dalam sebuah Hadits yang diriwayatkan oleh Hadhrat Imam
Muslim, Imam Abu Daud dan Imam Nasai Rahimahumullah bahwa,Hadhrat ‘Auf Bin Malik Al-Ashja’i Radhiyallahu ‘Anhu telah berkata, “Kami berada bersama Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam seramai sembilan orang atau lapan orang atau tujuh orang.
Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda, “Apakah kamu semua tidak berbai’ah dengan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi
Wasallam?” Maka kami pun menghulurkan tangan-tangan kami dan berkata, “Atas perkara apakah kami hendak berbai’ah denganmu, Ya Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi
Wasallam?” Hadhrat Baginda Nabi Muhammad RasulullahSallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda, “Atas perkara bahwa kamu hendaklah beribadat kepada Allah dan jangan mensyirikkan sesuatu juapun denganNya, dan bersolat lima waktu dan mendengar dan taat.”

Hadhrat Maulana Shah Ashraf ‘Ali At-Thanwi Rahmatullah ‘alaih menyatakan bahawa Para Sufi yang mulia mengamalkan Bai’at yang mana ianya dapat menghasilkan keazaman kuat untuk menyempurnakan hukum Syari’at yakni bersikap Istiqamah dalam amalan Zahir dan Batin serta berjanji untuk melaksanakannya. Bai’at ini dikenali sebagai Bai’at Tariqat.
Sebahagian ‘Ulama Zahir mengatakan bahawa amalan Bai’at ini adalah Bida’ah dan bukannya amalan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi
Wasallam. Menurut mereka, Bai’at hanya untuk orang Kafir yang baru memeluk Agama Islam dan untuk orang Islam ketika hendak berjihad. Walaubagaimanapun, dari Hadits yang dinyatakan di atas dapat kita fahami bahawa Para Sahabat Radhiyallahu ‘Anhum yang berbai’ah itu bukanlah berbai’at untuk memeluk Agama Islam kerana mereka sudahpun beragama Islam. Dari kandungan Bai’at yang disabdakan oleh Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam itu maka terzahirlah bahawa Bai’at yang dilakukan itu bukanlah untuk maksud Jihad, bahkan menerusi lafaznya dapat kita ketahui bahwa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menegaskan tentang keazaman menyempurnakan amalan. Maka, Bai’at merupakan Sunnah dan ianya tidak dapat dinafikan. Sesungguhnya kepentingan Bai’at Tariqat bukanlah kepada masyarakat umum tetapi sebaliknya bagi mereka yang terdapat penyakit-penyakityang tersembunyi di dalam hati. Tanpa nasihat dan panduan dari seseorang Syeikh yang Haq lagi ‘Arif, seseorang itu tidak akan dapat memahami tentang penyakit Ruhaninya. Jikalau seseorang itu mengetahui penyakit Ruhaninya sekalipun, dia tetap tidak tahu apakah cara penyembuhannya dan jika dia tahu sekalipun, dia akan menghadapi kesukaran untuk mengobatinya karana halangan-halangan dari Nafsnya, karana itulah bimbingan seorang Murshid Kamil amat diperlukan.

Sumber : AR-RISALAH AL-‘ALIYAH
Faqir Maulawi Jalalluddin Ahmad Ar-Rowi
An-Naqshbandi Al-Mujaddidi Al-Uwaisi
‘Ufiya Allahu ‘Anhu Wali Walidaihi